Saturday 26 November 2011

HIMPUNAN SIMPULAN BAHASA SEKOLAH RENDAH

1. Babi Buta = Membabi Buta
Maksud: Berbuat sesuatu tanpa banyak berfikir.
Contoh Ayat: Serangan yang membabi buta itu telah menyebabkan ramai orang awam terkorban.

2. Bahasa Ibunda
Maksud: Bahasa yang dituturkan oleh sesuatu kaum.
Contoh Ayat: Bahasa ibunda Mei Lin ialah bahasa Mandarin.

3. Bahasa Kasar = Berbahasa Kasar
Maksud: Bahasa yang tidak sopan untuk digunakan.
Contoh Ayat: Ratna mengeluarkan bahasa kasar semasa bergaduh dengan kakaknya.

4. Bahasa Pasar
Maksud: Bahasa Melayu yang tidak betul tatabahasanya.
Contoh Ayat: Jangan menggunakan bahasa pasar apabila membuat karangan.

5. Baik Budi
Maksud: Baik hati.
Contoh Ayat: Hafiz seorang pemuda yang baik budi dan menghormati orang tua.

6. Baik Hati
Maksud: Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).
Contoh Ayat: Nenek memang baik hati. Dia sering menghulurkan derma kepada rumah anak-anak yatim.

7. Baik Sangka
Maksud: Berpendapat yang orang lain baik.
Contoh Ayat: Kita hendaklah sentiasa bersikap baik sangka terhadap semua orang.

8. Balas Budi = Membalas Budi
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih.
Contoh Ayat: Jiman menyara kos perubatan ibu angkatnya sebagai membalas budi keluarga angkatnya itu.

9. Balas Guna
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih.

10. Balik Gagang = Berbalik Gagang
Maksud: Berpihak kepada musuh.
Contoh Ayat: Akibat rasa tidak puas hati terhadap ketuanya, Ahmad telah berbalik gagang dengan membocorkan rahsia syarikatnya.

11. Balik Hati = Berbalik Hati
Maksud: Berubah pendirian.
Contoh Ayat: Dia telah berbalik hati dan tidak jadi meninggalkan kampungnya.

12. Bangkai Bernyawa
Maksud: Orang yang tidak berguna.
Contoh Ayat: Kehidupan seorang penagih dadah ibarat bangkai bernyawa.

13. Bantal Lengan = Berbantal Lengan
Maksud: Kehidupan yang terlalu miskin.
Contoh Ayat: Kehidupannya yang berbantal lengan menyebabkan dia jarang bergaul dengan jiran tetangganya.

14. Banting Tulang = Membanting Tulang
Maksud: Bekerja bermati-matian.
Contoh Ayat: Ayah membanting tulang mencari rezeki untuk menyara kami sekeluarga.

15. Banyak Akal
Maksud: Banyak helah.
Contoh Ayat: Leman banyak akal apabila diminta membayar hutangnya.

16. Banyak Cakap
Maksud: Orang yang suka berleter.
Contoh Ayat: Halijah banyak cakap sehingga pening kepala saya mendengarnya.

17. Banyak Mulut
Maksud: Orang yang suka berleter.

18. Bapa Angkat
Maksud: Orang yang mengaku sebagai bapa dan memelihara kita, walaupun tiada pertalian darah.
Contoh Ayat: Bapa angkat saya memelihara saya seperti anaknya sendiri kata Salmah kepada Karim.

19. Bapa Kandung
Maksud: Bapa sebenar.
Contoh Ayat: Bapa kandung saya tinggal di Perak.

20. Basuh Mulut = Pembasuh Mulut
Maksud: Sajian manis atau buah-buahan yang dijadikan hidangan selepas makan.
Contoh Ayat: Selepas makan tengah hari saya makan buah tembikai sebagai pembasuh mulut.

21. Batu Api
Maksud: Orang yang suka menghasut.
Contoh Ayat: Dalam pergaduhan itu Si Mamatlah batu apinya.

22. Batu Loncatan
Maksud: Sesuatu yang dijadikan permulaan untuk mencapai hajat yang lebih besar.
Contoh Ayat: Kursus membuat makanan ini hanyalah batu loncatan sebelum saya bergiat cergas dalam perusahaan makanan.

23. Bau-Bau Bacang
Maksud: Persaudaraan yang jauh.
Contoh Ayat: Saya mesti melawat Zainon apabila ke Terengganu kerana kami memang ada bau-bau bacang.

24. Bawa Alamat
Maksud: Memberi tanda.
Contoh Ayat: Langit gelap bawa alamat hari akan hujan.

25. Bawa Diri = Membawa Diri

26. Bawa Hati
Maksud: Merajuk.
Contoh Ayat: Setelah pinangannya ditolak, Amar bawa hati dan belayar ke negeri orang.

27. Bawa Hidup
Maksud: Merantau mencari penghidupan.
Contoh Ayat: Rahul bawa hidup ke Malaysia untuk mencari pendapatan yang halal.

28. Bawa Mati
Maksud: Menyebabkan mati.
Contoh Ayat: Penyakit kanser boleh bawa mati jika tidak diubati di peringkat awal.

29. Bawa Mulut
Maksud: Bercerita tentang keburukan orang lain.
Contoh Ayat: Haris sering bawa mulut tentang kelakuan bekas kekasihnya.

30. Bawa Nasib
Maksud: Merantau mencari penghidupan.

31. Bawa Nyawa
Maksud: Menyelamatkan diri.
Contoh Ayat: Masing-masing bawa nyawa dengan lari bertempiaran ketika gempa bumi berlaku.

32. Bawa Sial = Membawa Sial
Maksud: Mendatangkan malang.
Contoh Ayat: Tiada siapa yang membawa sial. Semuanya telah ditakdirkan Allah.

33. Bawa Tempurung
Maksud: Minta sedekah.
Contoh Ayat: Kita masih gagah dan kuat. Kita tidak perlu bawa tempurung.

34. Bawa Tuah = Membawa Tuah
Maksud: Mendatangkan keuntungan.
Contoh Ayat: Tindakan Ahmad membeli anak syarikat itu membawa tuah kepada perniagaannya.

35. Bawah Angin
Maksud: Negeri-negeri di sebelah Timur.
Contoh Ayat: Kapal itu belayar ke negeri bawah angin.

36. Bawah Bendera
Maksud: Berada dalam perlindungan sesuatu kuasa.
Contoh Ayat: Pada suatu masa dahulu negeri-negeri di Tanah Melayu berada bawah bendera Inggeris.

37. Bawah Tanah
Maksud: Pergerakan rahsia atau pergerakan gelap.
Contoh Ayat: Ketika zaman darurat, tentera komunis menjalankan pergerakan bawah tanah.

38. Bayang Kata = Dibayang Kata
Maksud: Dikias.
Contoh Ayat: Semasa makan malam, Mak Long telah dibayang kata oleh ayah tentang sikap cemburunya itu.

39. Bayar Nyawa
Maksud: Mengorbankan diri.
Contoh Ayat: Mak Melur sanggup bayar nyawa untuk mendapatkan hak penjagaan anak lelakinya daripada bekas suaminya.

40. Bekas Tangan
Maksud: Sesuatu yang diusahakan.
Contoh Ayat: "Terendak yang cantik ini adalah bekas tangan Syamsiah," kata Pak Mail memuji menantunya.

41. Belah Bumi = Membelah Bumi
Maksud: Bunyi yang sangat kuat.
Contoh Ayat: Petir yang membelah bumi petang tadi amat menakutkan saya.

42. Belah Hati = Berbelah Hati
Maksud: Tidak tetap pendirian dalam mengambil sesuatu keputusan.
Contoh Ayat: Usahlah berbelah hati untuk meninggalkan keluarga demi mencari masa depan yang lebih baik.

43. Belahan Hati
Maksud: Orang yang sangat dikasihi.
Contoh Ayat: Anak bongsunya itulah belahan hatinya.

44. Belahan Jiwa
Maksud: Orang yang sangat dikasihi.

45. Belahan Nyawa
Maksud: Orang yang sangat dikasihi.

46. Belakang Hari
Maksud: Kemudian hari.
Contoh Ayat: "Berusahalah dengan bersungguh-sungguh, supaya hidup kamu senang belakang hari," nasihat ayah kepada abang.

47. Bendera Putih
Maksud: Mengaku kalah.
Contoh Ayat: Tentera Siam terpaksa mengibarkan bendera putih kerana tidak sanggup menentang serangan kerajaan Melaka yang hebat itu.

48. Bengkak Perut
Maksud: Berasa dengki atau sakit hati kerana sesuatu.
Contoh Ayat: Rajan bengkak perut apabila ibunya menghadiahkan abangnya sebuah rumah.

49. Berat Lalat
Maksud: Pura-pura berani.
Contoh Ayat: Dia berani lalat sahaja apabila mengaku akan menjaga dusun durian pada waktu malam.

50. Berani Mati
Maksud: Tidak takut mati.
Contoh Ayat: Angkatan Tentera Malaysia berani mati dalam mempertahankan tanah air tercinta.

51. Berat Bibir
Maksud: Orang yang pendiam.
Contoh Ayat: Menantu saya berat bibir tetapi rajin ke dapur.

52. Berat Hati
Maksud: Kurang senang.
Contoh Ayat: Berat hati saya melepaskan dia pergi seorang diri.

53. Berat Kaki
Maksud: Malas.
Contoh Ayat: Dia berat kaki untuk ke pesta hari jadi temannya.

54. Berat Lidah
Maksud: Tidak dapat berkata-kata.
Contoh Ayat: Berat lidah Jimah hendak menceritakan hal sebenar kepada ibunya.

55. Berat Mata
Maksud: Mengantuk.
Contoh Ayat: Baru pukul sembilan malam adik sudah berat mata.

56. Berat Mulut
Maksud: Orang yang pendiam.

57. Berat Sebelah
Maksud: Tidak adil.
Contoh Ayat: Sikapnya yang berat sebelah mengecewakan saya.

58. Berat Tangan
Maksud: Pemalas.
Contoh Ayat: Saedah memang berat tangan. Dia hanya tidur dan tidak mahu menolong kakaknya di dapur.

59. Berat Tulang
Maksud: Pemalas.

60. Beri Jalan
Maksud: Beri pendapat atau fikiran dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
Contoh Ayat: "Beri jalan untuk menyelesaikan masalah adik kamu ini," kata ibu kepada abang.

61. Beri Muka
Maksud: Memanjakan.
Contoh Ayat: Kalau kerap diberi muka, mereka akan menjadi malas.

62. Berita Hangat
Maksud: Berita baharu yang menjadi perbualan.
Contoh Ayat: Kisah seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang bijak Matematik menjadi berita hangat dalam semua akhbar tempatan.

63. Besar Cakap
Maksud: Orang yang suka bercakap sombong.
Contoh Ayat: Akmal besar cakap sahaja tetapi dia sebenarnya bukanlah orang yang berharta.

64. Besar Hati = Berbesar Hati
Maksud: Gembira.
Contoh Ayat: Datuk Kamarudin berbesar hati kerana diberikan sambutan meriah oleh orang bawahannya.

65. Besar Kepala
Maksud: Tidak mahu mendengar nasihat, degil.
Contoh Ayat: Lijah menjadi besar kepala semenjak kematian ayahnya.

66. Besar Mulut
Maksud: Suka bercakap besar.
Contoh Ayat: "Jangan suka besar mulut menceritakan kekayaan keluarga kita yang tak seberapa," kata kakak.

67. Besar Perut
Maksud: Hamil.
Contoh Ayat: Kami bakal mendapat anak saudara kerana kakak sudah besar perut.

68. Betul Bendul
Maksud: Orang yang lurus dan ada kalanya bodoh.
Contoh Ayat: Jamil memang betul bendul, sebab itulah orang suka mempermain-mainkannya.

69. Biang Keladi
Maksud: Orang atau hal yang menjadi punca kejahatan.
Contoh Ayat: Rajoolah yang menjadi biang keladinya dalam kes kecurian lembu baru-baru ini.

70. Bidan Tarik
Maksud: Membuat sesuatu secara tiba-tiba.
Contoh Ayat: Majlis keraian itu diadakan secara bidan tarik menyebabkan ramai yang tidak hadir.

71. Bidan Terjun
Maksud: Membuat sesuatu secara tiba-tiba.

72. Bintang Gelap
Maksud: Bernasib malang.
Contoh Ayat: Kehidupannya umpama bintang gelap setelah kakinya dipotong akibat kecederaan serius yang dialaminya dalam kemalangan tempoh hari.

73. Bintang Hati
Maksud: Orang kesayangan kekasih.
Contoh Ayat: Zahid berasa gelisah kerana bintang hatinya akan ke luar negara.

74. Bintang Terang
Maksud: Nasib baik.
Contoh Ayat: Sejak tamat pelajaran, dia berbintang terang kerana mendapat pekerjaan yang baik.

75. Bongkar Sauh

76. Bongkok Sabut
Maksud: Bongkok sedikit.
Contoh Ayat: Pemuda yang bongkok sabut itulah suami saya.

Wednesday 2 November 2011

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU

DEFINISI MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.
TUJUAN MBMMBI
• Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
• Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
STRATEGI PELAKSANAAN MBMMBI
1. Memartabatkan Bahasa Malaysia
Strategi memartabatkan Bahasa Malaysia meliputi perkara-perkara berikut:
• Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia
• Asas Berbahasa (Back To Basics)
• Didik Hibur
• Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum
• Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
• Program Bacaan
• Guru Bahasa Malaysia Berkualiti
• Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
• Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi
• Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
• Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi
Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia – Penguasaan asas kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul P&P.
Asas Berbahasa (Basics To Basics) – Pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas berbahasa pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul P&P yang menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P tatabahasa adalah berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara bersepadu dalam konteks.
Didik Hibur – Pendekatan P&P Bahasa Malaysia akan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.
Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum – Penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P Bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak menjejas standard dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P – Penggunaan teknologi makluamt seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan P&P yang bersifat interaktif serta nenghiburkan. Satu portal akan diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan forum bagi penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan, pelajar serta pengguna Bahasa Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari maklumat tentang Bahasa Malaysia.

Program Bacaan – Program bacaan seperti Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan NILAM diteruskan. Beberapa penambahbaikan akan dilakukan supaya pembacaan bahan sastera dapat ditingkatkan.
Guru Bahasa Malaysia Berkualiti – Guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu beropsyen Bahasa Malaysia untuk memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi.

Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar negara.
Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif – Pemantauan daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan saiz kelas, serta keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah lebih kondusif untuk P&P.
Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi – Usaha menterjemah karya agung dari Eropah, Amerika dan Asia perlu diperhebatkan. Melalui cara ini perluasan ilmu melalui pembacaan dalam Bahasa Malaysia dapat dipergiat, seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Penggunaan Bahasa Malaysia juga mestilah tekal dan mantap dalam semua urusan rasmi agar hasrat 1Malaysia terlaksana melalui identiti negara bangsa.
Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara – Satu kolaborasi yang mantap antara Malaysia dengan negara lain akan diwujudkan dengan menubuhkan kursi Bahasa Malaysia di universiti luar negara.
Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi – Pelajar yang mengikuti pengajian di universiti hendaklah diwajibkan mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat masuk.